Tuesday, March 17, 2009

HATI Andai Ianya Tidak Dijaga

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 9:50 PM, under | No comments

أَلآ إِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةٌ إِنْ صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدَ كُلُّهُ وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ اَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

Ertinya : …Ingat! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adalah suatu hal yang pasti bahawa pada setiap jiwa manusia terjadi pergelutan dan peperangan yang dasyat yang menentukan apakah dia akan tetap sebagai manusia atau akan menjadi binatang yang berbadan manusia. Itulah peperangan antara rayuan syaitan dan seruan agama. Antara kebatilan dan kebenaran.

Memang, sebuah nafas panjang ditarik dan dihembuskan. Bersama berjuta jeritan. Menanti suatu kepuasan. Dunia ini menawarkan kenikmatan. Kaki, hendak ke mana melangkah? Antara syaitan dan malaikat bergelut. Berebut menguasai diri. Tapi, hendak ikut siapa…? Demikianlah peperangan itu berlaku.

Kedua-dua belah pihak bertarung dalam kancah peperangan, iaitu hati. Jika Iblis menang, manusia itu akan kehilangan kemanusiaannya. Dan apabila agama yang menang, ia akan menjadi manusia luhur, arif dan bijaksana.

Setiap kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang, ia bagaikan bintik-bintik hitam yang mengotori dan mengeraskan hatinya. Semakin ia berani melakukan maksiat, kedudukan iblis bertambah kuat. Dan…Iblis mengibarkan benderanya. Maka ketika itulah hati akan menderitai penyakit. Sesuatu penyakit yang berbahaya namun tidak dapat dirasai. Penyakit yang sukar ditemukan doktornya. Penyakit yang akan menghantarkan seseorang ke Neraka!



Comments
0 Comments

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...