Wednesday, May 11, 2011

Lima perkara aneh

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 9:24 PM, under | No comments


Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

                        Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

                        Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

                        Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

                        Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

                        Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah.  Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

                        Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

                        Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Monday, May 2, 2011

Cerita Sebuah Cinta

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 3:41 PM, under , | No comments

Muhammad bin Abdullah nama diberi. Menjadi sinar penerang seluruh buana. Menjadi tunjang kekuatan rohani umat manusia sekalian alam. Menyerlah cinta abadi kepada Sang Pencipta. Hadirnya tatkala manusia hanyut dalam buaian dunia yang penuh noda dan nista. Hidup dikorbankan demi menegakkan kebenaran kalimah suci. Utusan yang tiada kenal erti putus asa. Cinta yang disemai hanya untuk Allah SWT dan umatnya.

Tetapi..sungguh pilunya...sebak di dada...adakah engkau masih ingat tentang kisah cinta Muhammad terhadap dirimu? Masihkah kau ingat betapa gundahnya hati Muhammad tentang nasibmu? Masihkah engkau ingat sayupnya hati Muhammad mengenangkan ancaman terhadap dirimu di akhir zaman ini?

Bergenang air mata tatkala melihat video ini...teringat betapa agungnya cinta seorang pesuruh Allah SWT terhadap umatnya. Pilu membelah jiwa menghayati kisah kewafatan manusia agung yang bernama Muhammad bin Abdullah yang sentiasa gudah mengenangkan nasib umatnya di akhirat kelak. 

Walaupun sudah banyak kali membaca ceritanya, namun airmata ini masih tidak mampu untuk aku menahan membasihi pipiku pabila ku menonton video ini.

Ya Allah...Berikan kami kekuatan..
Aku rindu kepada KekasihMu..
Aku kasih kepada KekasihMu..
Selawat dan Salam kami sembahkan kepada kekasihMu yang tercinta
Muhammad bin Abdullah


Sunday, April 24, 2011

Kelebihan Hari Mengikut Sejarah Islam

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 1:06 PM, under | No comments

Allah menjadikan masa dalam seminggu tu ada 7 hari. Dalam setiap hari, ada peristiwa-peristiwa penting yang tercatat dalam diari islam itu sendiri… ia menjadi memori sepanjang zaman

Peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut hari ini adalah…

Hari Isnin
1. Naiknya Nabi Idris a.s ke langit..
2. Nabi Musa a.s berangkat ke bukit Thursina
3. Rasulullah s.a.w dilahirkan..
4. Malaikat Jibril a.s turun kepada Rasulullah s.a.w buat kali pertama.
5. Amal perbuatan umat Nabi Muhamad s.a.w dilapurkan pada hari Isnin.
6. Hari wafatnya Junjungan mulia…Nabi Muhamad s.a.w
7. Bukti keesaan Alah diturunkan…”Qul huwallahu ahad”

Hari Selasa
1. Wafatnya Jurjis
2. Nabi Yahya a.s wafat pada hari ini.
3. Nabi Zakaria a.s wafat pada hari ini juga..
4. Tukang sihir Firaun tewas dengan mukjizat Nabi Musa a.s …
5. Asiah iaitu isteri kepada Firaun wafat pada hari ni.
6. Habil terbunuh hari selasa..




Hari Rabu
1. Allah meneggelamkan Qarun bersama keluarga dan harta kekayaanya ke dalam perut bumi.
2. Allah menghancurkan Firaun beserta semua pengikut2nya (di laut merah)..
3. Allah menghancurkan Raja Namruz bin Kan’an dengan memasukkan serangga ke dalam telinganya.
4. Allah menghancurkan kaum Nabi Saleh a.s
5. Allah menghancurkan kaum Nabi Hud a.s dengan hembusan angin yang kuat..

Hari Khamis
1. Nabi Ibrahim a.s bertemu dengan Raja Mesir.
2. Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s setelah mereka membuang dan mengasingkannya.. (masa nih, Yusuf jadi raja mesir yang terkenal).
3. Bunyamin iaitu saudara kecil Nabi Yusuf a.s datang ke mesir dan berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s ..
4. Nabi Yaakub a.s datang ke negeri Mesir juga…untuk bertemu anakandanya yang dirindui.
5. Nabi Musa a.s memasuki mesir pada hari khamis untuk mengajak firaun menyembah kepada Allah.
6. Rasululllah s.a.w memasuki kota mekah selepas perjanjian hudaibiyah…


Hari Jumaat
1. Pernikahan antara Adam a.s dan Hawa
2. Pernikahan antara Yusuf a.s dan Zulaikha
3. Pernikahan antara Nabi Musa a.s dan Shafura binti Nabi Syuaib a.s
4. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah Khuwailid.
5. Pernikahan antara Nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis dari negeri Saba’
6. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar.
7. Pernikahan antara Ali bin Abi Talib r.a dengan Fatimah az-Zahra







Hari Sabtu
Hari ni pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai hari tipu daya…sebab..

1.Kaum Nabi Nuh a.s membangkang kepada Nabinya.
2. Kaum Nabi Saleh a.s mencabar nabinya dengan menyembelih unta yang diamanahkan kepada mereka.
3. Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s mengkhianati Nabi Yusuf a.s dengan mencampakkannya ke dalam perigi di padang pasir.
4. Raja Firaun mencabar Nabi Musa a.s
5. Orang2 yahudi mengkhianati dan menejar Nabi Isa a.s untuk membunuhnya. Lalu, Allah mengangkat Nabi Isa a.s ke langit.
6. Orang2 Quraisy menipu dan mencabar Nabi Muhamad s.a.w di Darun Nadwah.
7. kaum yahudi melanggar perintah Allah dengan menagkap ikan walaupun hari itu di larang mereka berbuat demikian.


Hari Ahad
1. Allah menjadikan neraka.
2. Allah mencipta bumi yang tujuh lapis
3. Allah mencipta langit yang tujuh lapis
4. Allah menjadikan 7 anggota adam.
5. Allah menjadikan bilangan hari yang tujuh.
6. Allah menjadikan bintang2 yang beredar..
7. Allah menjadikan laiutan yang tujuh…





Diantara hari-hari yang tujuh itu..hari Jumaatlah yang paling mulia..dan digelar penghulu bagi segala hari..banyak fadhilat yang boleh kita perolehi pada hari Jumaat. Begitulah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada sekian-sekian hari hanya dengan mengimbas kembali lipatan sirah nabawiyah, barulah kita dapat gambaran sepenuhnya. Alangkah baiknya kalau kita berada di bumi anbiya, bolehlah kita menuruti sejarah-sejarah silam, zaman pemerintahan nabi-nabi.

InsyaAllah moga sama-sama dapat ambil iktibar yang baik dan sempurna itu datangnya dari Allah jua, dan yang buruk itu dari hambaNya yang daif ini…

Tuesday, April 19, 2011

Empat petua Imam Syafie untuk sihat

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 1:45 AM, under | 2 comments


Empat perkara menyihatkan badan:
1. Makan daging
2. Memakai haruman
3. Kerap mandi
4. Berpakaian daripada kapas

Empat perkara melemahkan badan:
1. Banyak berkelamin (bersetubuh)
2. Selalu cemas
3. Banyak minum air ketika makan
4. Banyak makan yang masam

Empat perkara menajamkan mata:
1. Duduk menghadap kiblat
2. Bercelak sebelum tidur
3. Memandang yang hijau
4. Berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata:
1. Memandang najis
2. Melihat orang dibunuh
3. Melihat kemaluan
4. Membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran:
1. Tidak banyak berbual kosong
2. Rajin bersugi (gosok gigi)
3. Bercakap dengan orang soleh
4. Bergaul dengan golongan ulama

Empat cara tidur:
1. Tidur golongan Nabi - Tidur terlentang sambil berfikir mengenai kejadian langit dan bumi.
2. Tidur golongan ulama dan ahli ibadah - Mengiring ke sebelah kanan bagi memudahkan terjaga untuk menunaikan solat malam.
3. Tidur golongan raja yang haloba - Mengiring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.
4. Tidur syaitan - Menelungkup atau meniarap seperti tidurnya ahli neraka.

Thursday, March 24, 2011

Mimpi...Mainan Iblis atau Hidayah Allah?

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 12:41 AM, under | No comments

Mengikut kamus Dewan, mimpi bermaksud sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur seseorang. Mimpi biasanya berkaitan dengan apa yang sedang menjadi fikiran seseorang. Kadang-kadang apa yang pernah dilihat, dialami dan dirasai oleh seseorang itu sering kali melintas dalam mimpinya. Hakikatnya, mimpi adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sekiranya mimpi itu datang dari Allah Taala ia disebut sebagai ‘al-rukyah’ Kadang-kadang ada juga yang datang dari iblis dan syaitan yang disebut sebagai ‘al-hulm’.  

Terdapat perbahasan antara ulama mengenai takwil mimpi. Ada mimpi yang boleh ditafsirkan dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun tidak semua orang mampu mentafsirkan kebenaran mimpi tersebut. Ramai ulama yang ingin mendalami masalah takwil atau tafsir mimpi tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana susahnya ilmu tersebut. Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: ‘Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.’ 

Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi baginda adalah wahyu dari Allah. Sedangkan mimpi manusia biasa merupakan berita yang disebarkan oleh iblis dan syaitan. Untuk memahami persoalan mimpi ini, bolehlah kita bahagikan mimpi kepada tiga jenis: 

1.     Mimpi yang baik. 

Mimpi yang baik disebut juga sebagai ‘busyra’ iaitu khabar gembira dari Allah SWT Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedang mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam sebuah hadis yang lain dari Abu Said al-Khudri r.a., dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang menyenangkan, maka itu adalah daripada Allah Taala. Dia hendaklah memuji Allah dan ceritakannya kepada orang lain” (Riwayat Bukhari) Menurut satu riwayat lain, menjelaskan bahawa larangan menceritakan mimpi baik itu kecuali kepada orang yang disukai atau orang yang paling dekat dengan kita. Hal ini pernah dialami oleh Nabi Yusuf a.s. Baginda bermimpi; sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Ketika itu ayahnya melarangnya untuk menceritakan kepada saudara-saudaranya yang lain, sebab hal itu boleh mengundang fitnah. Mimpi yang baik boleh dibahagikan kepada dua kategori:

          i.  Mimpi para Nabi dan Rasul-rasul.

Mimpi mereka adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT Bukti kebenaran mimpi ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27). 

Mimpi bagi nabi dan para rasul berbeza dengan mimpi manusia biasa. Hal ini kerana mimpi pesuruh Allah itu adalah benar. Ia merupakan salah satu cara bagaimana wahyu diturunkan dari Allah Taala kepada mereka. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh telah diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Surah al-Soffat: 102)

Kalau ditelusuri sejarah para nabi dan rasul-rasul, bukan Nabi Ibrahim a.s. sahaja yang mendapat wahyu dari Allah Taala melalui mimpi Baginda, tetapi hampir semua para nabi, termasuklah Nabi Muhammad SAW Bahkan hadis-hadis Qudsi yang diterima nabi juga merupakan wahyu dari Allah Taala. 

          ii. Mimpi orang soleh.

Mimpi yang baik akan datang kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Walau bagaimanapun, mimpi yang baik di sini bukanlah bermaksud mimpi yang berbentuk ramalan atau sengaja-sengaja direka-reka apatah lagi bentuknya seolah-olah melampaui qada’ dan qadar Allah SWT. Mimpi melihat Rasulullah SAW adalah ciri-ciri mimpi orang soleh. Dalam sebuah hadis Nabi SAW Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat mengambil bentukku.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila telah hampir kiamat tidaklah mimpi seorang Muslim itu dusta, mimpi yang paling benar ialah mimpi orang yang paling benar perkataannya dan mimpi seorang Muslim merupakan satu daripada empat puluh enam bahagian daripada mimpi kenabian.(Riwayat Muslim)

Justeru itu perlu diingat bahawa mimpi manusia biasa itu tidak mengandungi kebenaran yang mutlak. Kemungkinan tanda kebenarannya berlaku secara kebetulan sahaja, tetapi tidak menutup kemungkinan berlakunya banyak percanggahan yang mengelirukan. Apatah lagi bagi orang yang jahil atau yang memperkuda agama untuk kepentingan peribadi kononnya telah menerima wahyu melalui mimpinya, sehingga membawa kepada syirik dan terkeluar daripada agama Islam. Oleh itu kita yang jahil ini, dilarang mentakwilkan atau menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaiknya berfikirlah lebih rasional dan berpijak pada bumi yang nyata. 

2.     Mimpi yang buruk.

Mimpi jenis kedua ini sering berlaku kepada mereka yang mengalami masalah gangguan sama ada daripada iblis dan syaitan ataupun terkena sihir. Selain itu makhluk-makhluk halus juga mampu mengganggu mimpi manusia dengan izin Allah Taala melalui penglibatan manusia itu sendiri. 

     Prof. Madya Dr. Amran Kasimin, seorang pengamal perubatan Islam berpendapat, unsur kesedihan, susah hati atau apabila seseorang itu dalam keadaan marah akan menyebabkan pertahanan diri menjadi lemah. Apabila elemen dalaman ini lemah menyebabkan iblis dan syaitan yang sentiasa menunggu-nunggu peluang akan mudah menyerap masuk untuk mengganggu manusia melalui mimpinya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedangkan mimpi buruk itu dari syaitan.(Riwayat Bukhari) 

     Secara teorinya apabila kita tidur, jasad sahaja yang berada di atas perbaringan. Sedangkan akal manusia masih wujud, tetapi tidak aktif, tidak berfungsi dan di luar sedar. Ketika inilah, sekiranya kita tiada pertahanan diri menyebabkan makhluk-makhluk tersebut menyerang roh kita sehingga menyebabkan berlakunya gangguan-gangguan seperti mimpi-mimpi yang menakutkan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan daripada Safiyah binti Huyayn, Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut pembuluh darah(Riwayat Bukhari dan Muslim)

     Apabila ini berlaku, ia boleh mengganggu manusia pada bahagian otak, hati dan mengawal pergerakan manusia dengan izin Allah Taala. Dalam sebuah hadis nabi memberi petua; apabila seseorang itu bermimpi yang buruk-buruk, maka jangan diceritakan sama sekali kepada orang lain, termasuk orang yang paling dekat sekalipun. 

3.     Mimpi mainan tidur.

Mimpi ketiga ini yang paling banyak berlaku kepada kita. Mimpi jenis ini disebabkan pengaruh menonton cerita-cerita ganas, mengerikan, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi mereka hasil daripada cerita yang ditonton ketika jaga. 

Selain itu, mimpi yang melibatkan anggota fizikal juga adalah mainan tidur. Mimpi ini disebabkan oleh gangguan fikiran yang berpunca daripada penyakit tertentu seperti demam, ramuan ubat, dadah atau pengaruh dan khayalan nafsu yang kuat. Walaupun demikian apabila mimpi tersebut berlaku berulang kali, tiga atau empat kali dalam seminggu, ataupun hampir setiap hari, iaitu ketika hampir terlena atau sedang tidur, ia bukan lagi mainan tidur. Ia kemungkinan antara tanda-tanda seseorang itu mengalami gangguan ataupun terkena sihir.

Dalam masyarakat Melayu Islam hari ini amalan-amalan khurafat yang berpunca daripada mimpi merupakan elemen utama dalam perubatan secara tradisional. Ada antara mereka yang mencari keuntungan segera di sebalik mimpi mereka yang sebenarnya boleh merosakkan akidah pengamal dan orang yang berubat dengannya. Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak untuk menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Amalan yang disabitkan dengan mimpi seperti yang diterangkan di atas tidak akan terlepas daripada amalan khurafat yang menyalahi akidah ini sekiranya:

1. Meramal suatu peristiwa yang bakal terjadi berdasarkan mimpi.

Perbuatan meramal atau menilik nasib seperti ini adalah perbuatan khurafat. Ia bukanlah satu-satunya cara atau landasan untuk menentukan sesuatu keputusan sementelahan pula mimpi itu sendiri bukanlah pemutus bagi segala-galanya untuk dipercayai. Islam tidak mengajar umatnya supaya meramal mimpi untuk menentukan baik buruk atau ajal maut dalam kehidupan manusia. Manusia bukanlah tuhan yang boleh meramal apa yang berlaku. Perbuatan meramal atau menilik mimpi melalui tukang tilik seolah-olah amalan dan budaya jahiliah yang sangat ditegah oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya (Surah al-Maidah: 90) 

2. Meletakkan keyakinan atau bergantung harap terhadap petunjuk melalui mimpi.

Jangan meletakkan nasib kita pada mimpi yang menjadi mainan syaitan. Nasib seseorang Muslim itu tidak terletak kepada mimpinya. Mimpi adalah suatu yang sangat peribadi dan tidak mempunyai kuasa untuk merubah nasib seseorang. Sesungguhnya tempat bergantung harap, memohon perlindungan dan keselamatan hanyalah kepada Allah Taala. Perbuatan terlalu percaya kepada mimpi seolah-olah menafikan zat Allah yang Maha Kuasa. Hal ini boleh menyeret kita kepada perbuatan syirik kepada Allah SWT Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni (dosa) kalau Dia disekutukan dan Dia mengampunkan selainnya, sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang menyekutukan Allah, sesungguhnya dia telah sesat sejauh-jauhnya. (Surah al-Nisa’:116) 

3. Mencampuradukkan antara ibadah dengan amalan khurafat.

Segelintir masyarakat kita sama ada sedar atau tidak telah mencampuradukkan ibadah mereka dengan amalan khurafat. Tanpa disedari fenomena menilik jodoh melalui mimpi dengan perantaraan solat sunat istikharah, terutamanya bagi sesetengah wanita perlu diperbetulkan semula. 

Amalan solat istikharah bukan bertujuan untuk meramal jodoh. Solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi tidak pasti apakah membawa kebaikan ataupun tidak kepadanya. Maka disunatkan baginya untuk melakukan solat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk dalam beberapa urusan yang penting. Baginda bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib

Malah apabila seseorang itu beriktikad bahawa mimpilah yang menjadi penentu kepada pasangan jodohnya maka dikhuatiri ia telah berbuat syirik kepada Allah SWT Islam melarang apa jua amalan baik yang bercampur aduk dengan kebatilan yang mengelirukan.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula pada hal kamu semua mengetahuinya(Surah al-Baqarah: 42)

4. Mimpi sebagai medium atau perantara yang menghubungkan antara manusia dengan makhluk lain atau alam ghaib.

Golongan ini biasanya melibatkan diri dengan perubatan tradisional misalnya, bomoh atau pawang yang terlibat dengan amalan semah, menyembah pantai, menurun dan sebagainya. Mereka ini kononnya didatangi oleh makhluk melalui mimpi meminta supaya disembelih binatang tertentu dan darahnya diberi makan kepada makhluk tersebut. 

Ada kalanya jenis mimpi, kononnya mereka didatangi oleh tokoh-tokoh agama atau manusia istimewa yang kononnya diberi keizinan oleh Allah SWT untuk menganugerahkan ijazah kemahiran atau ilmu-ilmu tertentu. Apabila keadaan seperti ini berlaku, orang yang didatangi mimpi itu merasakan yang ia mendapat arahan ataupun hidayah daripada Allah melalui mimpi. Sesetengah daripada mereka meyakini, bahawa yang datang itu ialah malaikat utusan Allah. Kepercayaan atau amalan melalui mimpi ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana mimpi bukanlah medium untuk memperoleh ilmu. Ilmu itu cahaya yang datang daripada sumber yang bersih dan suci. Manakala mimpi khurafat adalah lambang kepada kegelapan dan kesesatan.

Sesungguhnya beruntunglah bagi hamba-hamba pilihan Allah Taala yang diberi anugerah mimpi yang baik. Sebaik-baik mimpi ialah mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Akan datang suatu masa di kalangan kamu dapat bermimpi melihatku lebih disukai olehnya daripada keluarga dan hartanya”  (Riwayat Bukhari) 

Manakala dalam usaha mengatasi gangguan tidur terutamanya mimpi-mimpi yang buruk akibat gangguan daripada iblis dan syaitan Rasulullah SAW telah mengajar doa berikut

أَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ وَسَيِّئاَتِ اْلأَحْلاَمِ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan dan daripada keburukan mimpi

Setelah membaca doa di atas, orang yang terlibat hendaklah mengubah posisi tidurnya. Kalau semasa bermimpi dia tidur mengiring sebelah kiri, dia hendaklah mengiring sebelah kanan, begitulah sebaliknya. Adalah lebih mudah andainya dia beralih tempat tidur. Demikianlah kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW Sebuah hadis daripada Jabir, katanya Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disukai, dia hendaklah meludah ke sebelah kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah daripada syaitan tiga kali, dan ia hendaklah menukar posisi tidurnya

Wallahu A'lam

Wednesday, March 23, 2011

Hindarilah Sifat Malas Wahai Sahabatku

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 2:13 AM, under | No comments

Sifat malas adalah hamparan tikar bagi iblis. Bila kita membiarkan sifat malas ini dengan tidak berusaha memeranginya, maka tikar itu akan semakin lebar, sehingga semakin nyaman iblis bersemayam di atasnya. Kita akan menjadi semakin sulit keluar dari sikap malas itu dan hancurlah kita walau setinggi manapun ilmu kita.

Rasa malas diertikan sebagai keengganan seseorang untuk melakukan sesuatu yang seharusnya atau sebaiknya dia lakukan. Contoh-contoh rasa malas adalah sentiasa menolak tugas, tidak disiplin, tidak tekun, suka melengah-lengahkan sesuatu, mengelakkan diri dari kewajipan, dan seumpamanya.

Rasa malas merupakan sejenis penyakit mental. Masyarakat yang dipenuhi oleh individu-individu yang malas sudah pasti tidak akan maju. Selain itu, rasa malas juga menggambarkan hilangnya motivasi seseorang untuk melakukan pekerjaan atau apa yang dia inginkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Diriwayatkan daripada Annas Bin Malik berkata bahawa Rasullullah SAW. Pernah berdoa yang bermaksud : Wahai Tuhanku aku berlindung dengan Engkau dari sifat lemah dan malas, takut dan bakhil dan aku berlindung daripada Engkau dari azap kubur dan aku berlindung daripada Engkau dari kesusahan masa hidup dan masa mati. (menurut satu riwayat yang lain) aku berlindung daripada Engkau dari beban hutang dan dari dikalahkan oleh musuh" (Riwayat dari Muslim)

 

Diantara penyakit jiwa yang boleh merugikan dan memundurkan umat manusia ialah berperasaan lemah diri, malas bekerja dan berusaha , bersifat kedekut atau bakhil serta sayangkan harta untuk dibelanjakan ke jalan kebajikan bagi membantu orang yang susah. Dengan adanya sifat-sifat tersebut dalam diri sendiri segala urusan akan tergendala malah masyarakat akan lemah dan mundur serta mudah dikalahkan oleh musuh, dengan itu masyarakat akan jadi huruhara . Dengan sebab itu ianya perlu dikikis dan dihapuskan dari dalam diri setiap orang dengan sedaya upaya yang boleh.

Untuk menghapuskan sifat-sifat tersebut bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ianya sudah melekat didalam diri tanpa disedari oleh kita. Oleh itu kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh dengan sedaya upaya jauhkan dari sifat tersebut terutama dengan cara berdoa kepada Allah.

Semoga kita mampu mempersempit “tikar iblis” itu dengan cara memerangi sikap malas kita, agar kita mampu untuk meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amiin

Jadi bagaimana hendak mengatasi virus yang merbahaya ini? 

Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a bahawasanya pada zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat yang sangat miskin bernama Abu Umamah. Siang dan malam dia tinggal di masjid, dan kemudian baginda memanggilnya seraya bertanyakan sebab-sebab dia bersikap demikian.

Abu Umamah menerangkan kepada Rasulullah SAW tentang kesedihan dan kesusahan yang menyebabkan ia tidak tinggal di rumah, kerana akibat banyaknya hutang yang tidak dapat dibayarnya.

Mendengar pengaduan Abu Umamah itu, Rasulullah SAW merasa hiba lalu beliau berkata kepada Abu Umamah : “Mahukah kamu kuberikan kalimah dan amalkanlah dengan baik setiap hari, nescaya Allah SWT akan melenyapkan kesedihanmu dan memberimu kelonggaran? Kemudian Rasulullah SAW membaca doa, sedang Abu Umamah mendengar dengan baik.

Berikut adalah doanya...

doa elak dari sifat malas, rasa dukacita dan kedekut
 
Abu Umamah membiasakan membaca ayat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW itu siang dan malam dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT akan memberi kelonggaran kepadanya.

Selang beberapa hari., kesedihan dan kedukaan yang dialami Abu Umamah berkurangan, makin lama makin berkurangan dan akhirnya hilanglah sama sekali dan terbukalah alam fikirannya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.
 
Dia akhirnya dia menjadi usahawan yang berjaya, sehingga hutang-hutangnya dapat terbayar semuanya dan bahkan dia menjadi orang yang sangat kaya.

Tuesday, March 22, 2011

Janganlah Engkau Bangga Diri Wahai Sahabatku

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 1:38 AM, under | No comments

BANGGA DIRI atau kagum terhadap diri sendiri adalah penyakit hati yang membuat seseorang berasa selesa dan berlapang dada dengan pujian orang lain. Orang seperti itu menganggap dirinya paling baik dan sentiasa melebihi orang lain. Sikap bangga mendedahkan pelakunya kepada akibat buruk di sisi agama. Pengamalnya akan membudayakan takbur iaitu sifat yang jelek di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Jangan kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.” (Surah Al-Qashash, ayat 76)

Rasulullah saw bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain. (Hadis Riwayat Muslim)

Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.

Kedudukan orang Islam di sisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.

Sebenarnya bangga dan kagum diri sendiri adalah sifat Iblis yang memandang rendah Nabi Adam kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada api.

Firman Allah bermaksud: “Iblis berkata, aku lebih baik daripadanya (Adam), Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan daripada tanah.” (Surah Saad, ayat 38)

Orang yang terkena penyakit kagum diri dapat dilihat daripada beberapa tanda iaitu selalu memuji dan mengagungkan diri. Pada masa sama, ia melupakan firman Allah bermaksud: “Maka jangan kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) paling mengetahui orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Kita juga dilarang memuji dan menyebut kebaikan diri.


Firman Allah bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan pelik wahai Muhammad) kepada orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah juga yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.” (Surah an-Nisaa, ayat 49)


Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.


Seorang Muslim yang terkena penyakit bangga diri harus segera bertaubat dan berusaha menyembuhkan dirinya daripada penyakit hati itu. Cara dapat dilakukan supaya tidak terkena penyakit kagum ialah selalu ingat hakikat dan kejadian diri. Sesungguhnya kita adalah insan biasa yang tidak punya apa di dunia yang fana ini. Wallahu A'lam.

Sunday, March 20, 2011

Indahnya Hidup Berjuang - Ingatan Untuk Sahabat Dari Seorang Sahabat

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 4:07 AM, under | No comments

Pergilah sahabat semua, teruskan perjuangan kita, agar Islam dapat bangun dan bangkit semula. Sahabat , dalam menyusuri jalan perjuangan, jangan lupa memandang di belakang sejarah yang sering mengingatkan kita jerih perit para pejuang terdahulu, untuk kita jadikan pedoman dan pengajaran, bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah, jalan menuju syurga itu penuh kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk melaluinya. 

Jalan perjuangan yang kita akan selusuri itu banyak benar denai duri yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh. Sebab itu sahabat, sudah aku nyatakan berkali-kali, hidup ini perlukan dorongan seorang teman, teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang perjalanan adalah Tuhan, teman suka duka adalah kawan-kawan kita iaitu manusia yang faham apa erti kehidupan. Sahabat, perjuangan yang kau tempuhi sebentar lagi akan menyebabkan engkau rasa putus asa, kecewa, sebak dan sedih yang tidak terkata.

Maka kuatkanlah semangatmu, selalulah panjatkan doa kepadaNya, kita jadikan malam-malam sebagai taman munajat kepada Tuhan. Dia tidak akan melupakan kita, Dia akan selalu mendengar rintihan kita dikala manusia kelu untuk berkata-kata. Dari situ kita suburkan kasih sayang dan cinta kepada Tuhan.

Sahabat, perjuangan dalam jalan dakwah menuntut pengorbanan jiwa yang bukan sedikit, ingatlah setiap antara kita sememangnya berkewajipan untuk meneruskan tugas warisan para anbiya’ ini. Kerana cahaya Islam semakin suram di mata hati umat Islam sendiri. Cuba engkau lihat ada negara Islam yang bersekongkol dengan negara kafir untuk menyerang negara Islam sendiri, atas nama tujuan ekonomi. Mereka tidak meletakkan agama sebagai keutamaan. Cuba engkau lihat di negara Afghanistan pula, angkatan tentera yang kononya Islam bertakbir Allahu Akbar apabila berjaya membunuh saudaranya sendiri , umat Islam juga tetapi mereka sendiri dibantu oleh orang kafir. Islam apa ini namanya?

Cuba pula engkau lihat kebejatan akhlak di negara kita sendiri, tidak mustahil jika suatu hari nanti yang engkau nampak adalah adik, abang dan keluargamu sendiri yang melakukannya. Itukah yang engkau mahu sahabat? Sedangkan kita telah dibekalkan dengan ilmu oleh para guru yang tidak kenal erti penat lelah untuk memastikan para pelajarnya keluar sebagai bukan sahaja orang yang berjaya bahkan juga sebagai da’ie di alam ini. Inginkah engkau lihat saudara-saudara kita terpekik, terlolong di dalam neraka ? sanggupkah engkau lihat ibu ayah kita menangis sepanjang masa di dalam kuburan melihat anak-anaknya tidak menjadi ‘manusia’ yang diinginkan oleh Allah ? dan kemudiannya mereka-mereka itulah akan menarikmu pula ke dalam neraka bersama sebab engkau tidak menjalankan tugasmu sebagai saudara seIslam untuk menegur dan menasihati mereka.

Sahabat, tugas dakwah ini tugas kita, sebab kita telah belajar apa erti kesusahan Rasulullah dalam menyebarkan agama, kita telah merasai kemuliaan para sahabat yang mengalirkan air mata pengorbanan hingga dapat membangunkan Islam di seluruh pelosok dunia. Mereka bangun dengan semangat jihad yang dibentuk oleh al Quran dan sunnah Rasulullah, di hati-hati mereka tiada perasaan gentar atau takut selain dari Allah.

Mereka faham benar apa yang dimaksudkan di dalam ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” Surah As Saff ayat 2-3. Sebab itu sahabat, dengan nasihat yang lahir dari lubuk hati ini, dengan ikhlas aku menyatakannya kerana aku ingin melihat cahaya Islam itu semakin gemilang, agar Rasulullah mampu tersenyum andainya melihat sinarnya Islam selepasnya tidak kunjung padam. Moga-moga dengan amal ikhlasmu dalam juang HPA ini akan dipandang oleh Allah dan diredhaiNya di dunia dan di akhirat sana. Insya Allah…

SEMOGA ISLAM ITU GEMILANG LAGI

Saturday, March 19, 2011

Pedihnya Sakaratul Maut

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 6:36 AM, under | No comments

Hari nie saya teringat balik satu video yang pernah saya tonton kat dalam youtube....


huhu tengok sorang ustaz yang tengah memberi ceramah agama di sebuah surau dan...tetiba.......


dia didatangi oleh Malaikat Izrail huhu ... seram jugak ... jelas tampak dahi ustaz tu menahan kepedihan sang Sakaratul Maut ..


nih videonyer ... layan la dan ambillah iktibar ...


p/s : macam mana ntah kalo saat kita didatanganinya nanti yer? ....

Wednesday, March 16, 2011

Menjaga Adab Percakapan

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 5:01 AM, under | No comments

Allah S.W.T. menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah S.W.T.menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia.

Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah s.a.w., pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa mengungkaikan kalimah-kalimah agar setiap butiran bicara tersebut mendapat, keredhaan Allah.

Adab pergaulan

Berbicara dengan orang perseorangan atau awam sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik dan lain-lain mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah merupakan ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:
Daripada kebaikan iman seseorang ialah meniggalkan apa yang tidak bermakna bagiya.'
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin.

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:
'Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna.'
(Surah al-Mukminun : 1-3)

Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.

Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.

Ketiqa: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.

Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.

Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).

Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah.

Pertuturan Dalam Pergaulan

Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat al-gur'an dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah S.W.T.maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.
(Surah Ibrahim: 24-26)

Maksudnya:

'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang
(Surah al-Hujurat:11)

Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12)

Allah Ta'ala berfirman lagi:

Maksudnya:

Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'

(Surah al-Ahzab : 58)

Maksudnya:
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)

Maksudnya:
'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:

Maksudnya:
'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: 'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)


Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)

Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)

Maksudnya:
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'

Penulisan

Pada zaman ini sikap saling mencela dan mempersalahkan orang lain melalui tulisan sudah menjadi perkara biasa. Tujuannya hanyalah untuk menuduh dan menjatuhkan air muka orang lain yang tidak sehaluan pendapat dengannya, disamping mungkin juga bertujuan untuk mencari populariti.Islam tidak melarang umatnya untuk memberikan pandangan dan kritikan yang bersifat membina apabila melihat sesuatu masalah atau tuduhan yang menyimpang daripada kebenaran. Sikap seperti ini telah ditunjukkan sejak zaman Rasulullah s.a.w hinggalah kepada pemimpin- pemimpin seterusnya.

Walau bagaimanapun,setiap tulisan yang dihasilkan hendaklah merupakan suatu karya yang membina yang dapat menegakkan peradaban masyarakat, sebaliknya bukan untuk meruntuhkannya dengan menggunakan bahasa yang tidak sopan dengan tujuan mencela atau menghina pihak tertentu. Menggunakan bahasa dan daya imaginasi yang tinggi untuk melahirkan sebuah karya sangat disanjung tinggi.Namun, biarlah imaginasi itu ada arah tuju yang baik dan bukan sebaliknya.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: 'Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat-tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong) Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan kembali.'
(Surah Asy-Syuara': 224-227)

Ayat ini jelas menolak penulis atau pengkarya yang menggunakan imaginasi dan khayalan tanpa kawalan kerana ia boleh menyebabkan masyarakat keliru dan timbul salah tanggapan terhadap tulisan tersebut:

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:

Tidak harus bagi seorang muslim itu menimbulkan ketakutan pada diri saudaranya
.'
(riwayat Abu Daud)

Hadith tersebut menghendaki kita menggunakan bahasa yang mudah supaya maksudnya tepat dan tidak menggelirukan pemikiran pembaca. Gaya bahasa yang berbelit-belit, mencemuh, mencarut, menghina dan sebagainya hendaklah dihindarkan kerana ia dilarang oleh Islam berdasarkan firman Allah:

Maksudnya:
Wahai orang yang beriman, takutlah akan Allah. Dan katakanlah kata-kata yang betul nescaya Allah akan menjadikan amalmu baik. Dan akan diampuni-Nya dosa-dosa kamu.
(Surah al-Ahzab: 70-71)

Perdebatan

Dalam pergaulan seharian, kita sering berhadapan dengan perbincangan atau perdebatan tentang sesuatu isu. Islam menggariskan beberapa panduan yang patut diikuti ketika perbincangan atau perdebatan untuk mengelakkan berlakunya perbalahan. Perdebatan tentang agama, politik, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang dilakukan tanpa berlandaskan adab-adab yang dibenarkan oleh syarak, akan mengakibatkan rosaknya agama, kehidupan dan ilmu pengetahuan.Barangkali perdebatan seperti yang mereka lakukan itulah yang mengakibatkan rosaknya kesejahteraan ummat dan lahirnya golongan yang berpecah-belah.

Perdebatan seumpama ini bukanlah pembahasan yang sihat dan bukan pula usaha memperolehi kebenaran dengan cara yang sebaik-baiknya. Ini tergambar apabila para sahabat pernah berdebat antara satu dengan lain tentang sesuatu perkara. Apabila Rasulullah s.a.w. datang, baginda bersabda:

Maksudnya :

Hai umat Muhammad, berhati-hatilah! Orang sebelum kamu dahulu binasa kerana perbuatan seperti itu. Tinggalkanlah perdebatan kerana orang beriman tidak patut berdebat! Tinggalkanlah perdebatan kerana orang yang berdebat jelas akan memperolihi kerugian! Tinggalkanlah perdebatan kerana perdebatan mendatangkan dosa bagi orang selagi ia berdebat! Pada Hari Kiamat aku tidak akan memberi syafaat kepada orang yang suka berdebat! Tinggalkanlah perdebatan, kujamin tiga buah rumah di dalam syurga: di taman-tamannya,di tengahnya, dan yang di bahagian atasnya tersedia bagi orang yang menjauhkan diri daripada perdebatan dalam keadaan ia benar! Tinggalkanlah perdebatan kerana perkara pertama yang aku dilarang oleh Tuhanku sesudah melarang penyembahan berhala perdebatan.'

(Riwayat At-Tabarani)

Sepatutnya, dalam perbincangan tentang sesuatu isu yang timbul, kita hendaklah mengawal diri dan jangan sekali-kali menyanggah atau menyampuk kata-kata atau pandangan orang lain yang sedang memberikan pandangannya. Ini kerana setiap kata-kata yang kita dengar itu, jika benar, hendaklah kita mempercayainya atau menyetujuinya. Tetapi sekiranya kata-kata atau pandangan yang diutarakan itu salah, maka hendaklah perbetulkan. Itulah sebenarnya cara yang sepatutnya dilakukan ketika kita berdebat atau berbincang,

Bukannya saling cabar-mencabar dan bertikam lidah hingga membawa pertengkaran yang tidak berkesudahan, serta tidak menghasilkan apa-apa keputusan.

Firman Allah S.W.T.Maksudnya:

'...Dan berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang terbaik...
(Surah an-Nahl : 125)

Kaedah al-Qur'an Dalam Pertuturan

AI-Qur’an dengan tegas merumuskan bahawa umat Islam secara nyata memiliki ciri-ciri khusus yang membezakan mereka daripada umat lain.

Firman Allah S.W.T

Maksudnya:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.

(Surah Ali-Imran : 110)

Antara ciri khusus mereka yang paling utama ialah menyuruh melakukan kebaikan, mencegah kejahatan dan beriman kepada Allah S.W.T. Ciri tersebut sangat penting diambil ingatan oleh umat Islam kini khususnya dalam konteks jika mereka mahu membangunkan semula keyakinan diri dan menjadi'umatan wasatan'untuk masa kini dan masa depan.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya:
Dan demikianlah (sebahagian Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.(Sebenarnya kiblat kamu ialah Ka'bah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat itu adalah amat berat (untuk diterima)kecuali kepada orang yang telah diberika
(Surah aI-Baqarah : 143)

Walau bagaimanapun apabila ditinjau kepada potensi umat yang ada pada masa kini, kita dapati pertembungan fahaman telah menjadi salah satu halangan besar yang membelenggu mereka untuk hidup bersatu. Bersatu dalam erti kata saling tegur menegur dan menegakkan kebenaran secara berhikmah.

AI-Quran telah meletakkan beberapa kaedah tentang bagaimanakah cara terbaik untuk hidup saling tegur menegur dan bergaul dalam masyarakat. Bagaimanakah cara yang terbaik pula untuk mereka mengembalikan maruah ummah tanpa menjatuhkan orang lain sekaligus berperanan menjadi contoh kepada bangsa lain bahawa kita bukanlah umat yang suka kepada perbalahan dan saling bercakaran.

AI-Quran dalam banyak ayatnya menggesa supaya dibentuk fikiran umum yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan. Semua ini dilakukan demi menjaga kehormatan ummah dan ia perlu melalui kebebasan berfikir dan kebebasan bercakap asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan umum. Antaranya percakapan yang tidak sopan dan ungkapan-ungkapan yang tidak manis didengar.

Berhikmah


Banyak ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya. Allah S.W.T. memberi garis panduan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya bercakap dengan cara yang paling lembut.

Firman AllaLh S.W.T:

Maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya.'
(surah Ali-Imran : 159)

AI-Quran juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara yang terbaik.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...'

(Surah Fussilat : 34)

Lanjutan daripada ini, kita perhatikan bagaimana al-Qur'an sentiasa menekankan secara berhikmah ketika menyebarkan kebaikan kepada manusia. Dan cara inilah yang sepatutnya dijadikan panduan kepada kita semua,sama ada ketika berkhutbah, berkarya malah dalam apa jua tindakan kita.

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:

Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu dan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan…'

(Surah Muhammad : 19)

Firman Allah S.W.T. lagi:

Maksudnya:

Wahai orang yang berselimut bangunlah dan berilah peringatan dan Tuhanmu agungkanlah,pakaianmu bersihkanlah.'

(Surah al-Muddaththir: 1-4)

Allah S.W.T. juga berfirman:

Maksudnya:

'...Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta'ala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi al-Kitab itu dan kamu selalu mempelajarinya.
(Surah Ali-Imran : 79)

Sejak kebelakangan ini telah muncul sindrom orang ramai terhadap menegur kesalahan sama ada kesalahan itu dilakukan oleh individu mahupun oleh pihak berkuasa.

Teguran itu pula dilakukan melalui pelbagai media dan cara. Walaupun sindrom ini baik namun apa yang dikhuatiri jika cara yang digunakannya tidak berhikmah maka penyakit masyarakat semakin bertambah tenat. Ini kerana terdapat antara mereka orang yang tidak mengerti dan memahami cara-cara untuk mempertautkan dan memadukan hati manusia dan tidak memahami perkara~ perkara utama yang lebih bermanfaat bagi umat Islam.

AI-Quran sering menyindir golongan seperti ini lantaran kejahilan mereka menggunakan method berhikmah ketika menegur masyarakat.

Antaranya seperti firman Allah:

Maksudnya:

'Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'
(Surah al-Araf : 187)

Maksudnya:
'...Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.'
(Surah Hud : 17)

Maksudnya:
'..Maka ceritakan kisah-kisah agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr: 176)

Maksudnya:
'...Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr :21)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...