Wednesday, June 27, 2012

BERSUCI ASAS KEBERSIHAN

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 7:52 PM, under | No comments

Assalamualaikum wbt

Pada entri kali ini, insya allah kita akan bicarakan perihal asas dalam bersuci atau turut dikenali sebagai Taharah. Seperti yang diketahui umum, Islam amat menitik beratkan perihal kebersihan dalam kehidupan sepertimana yang telah disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW :

عن أبي مالك الحارث بن عاصم الأشعري قال: قال رسول الله : (( الطهور شطر الإیمان، والحمد لله تملأ الميزان، وسبحان الله والحمد لله تملآن أو تملأ ما بين السماء والأرض، والصلاة نور، والصدقة برهان، والصبر ضياء، والقرآن حجة لك أو عليك، آل الناس یغدو فبائع نفسه فمعتقها أو موبقها )) رواه مسلم
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya. (Hadith riwayat al-lmam Muslim)

Maka jelaslah kepada kita sebagai umat Islam bahawa kebersihan itu merupakan perkara wajib dan dituntut oleh Islam dan menjadi asas utama sempurnanya ibadah seseorang itu.

 Pengertian Bersuci/Taharah

Dari segi BAHASA bersuci membawa maksud membersih sesuatu daripada kekotoran. Manakala dari segi ISTILAH SYARAK ianya bererti membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada hadas, najis dan kotoran.

Hukum Bersuci

Hukum melaksanakannya adalah WAJIB dan menjadi syarat sah sesuatu ibadah.

Syarat Wajib Bersuci/Taharah
 
    * Islam
    * Berakal
    * Baligh
    * Masuk waktu ( Untuk mendirikan solat fardhu ).
    * Tidak lupa
    * Tidak dipaksa
    * Berhenti darah haid dan nifas
    * Ada air atau debu tanah yang suci.
    * Berdaya melakukannya mengikut kemampuan.


Bahan-Bahan Bersuci

1.  Air Mutlak (air laut, air sungai, air perigi, air hujan, air mata air, air salji dan air embun)
2.  Tanah atau debu yang suci --> untuk bertayammum.
3.  Benda-benda kesat seperti batu, kayu atau kertas --> untuk beristinjak.
4.  Benda-benda yang bersifat tajam (peluntur) --> untuk menyamak kulit binatang (tawas atau bahan kimia)


Penerangan

1.  Air mutlak, iaitu air semata-mata tanpa disertakan dengan sesuatu tambahan atau sesuatu sifat. Air  mutlak ini terbahagi kepada beberapa bahagian:
          o Air yang turun daripada langit. Ia terbahagi kepada tiga, iaitu air hujan, air salji 

 yang menjadi cair dan air embun.
          o Air yang terbit daripada bumi. Ia terbahagi kepada empat, iaitu air yang terbit 

daripada mata air, air perigi, air sungai dan air laut.

2.  Tanah, boleh menyucikan jika tidak digunakan untuk sesuatu fardhu dan tidak bercampur dengan sesuatu. 


Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

 “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub), terkecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau dalam bermusafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. ”
(Surah Al-Nisa’, 4:43)

3. Samak, iaitu membuang bahan-bahan lebihan yang melekat pada kulit dan yang merosakkannya sekira-kira jika direndam atau dibasuh dengan air sesudah disamak, maka kulit itu tetap tidak busuk atau rosak.


Akibat Mengabaikan Kebersihan

1.  Mudah dijangkiti penyakit
2.  Tidak disukai ALlah SWT
3.  Tidak selesa bergaul
4.  Merendahkan maruah umat Islam.
5.  Hidup sentiasa dalam kekotoran.
6.  Ibadat tidak diterima oleh Allah SWT

Semoga paparan entri kali ini yang serba ringkas ini akan dapat memberi sedikit manfaat kepada kita dalam mengingatkan akan kepentingan bersuci dan menjaga kebersihan dalam kehidupan harian. Dan semoga kita berjumpa dalam entri yang seterusnya, insya allah.

P/S Janganlah kita meremehkan perkara-perkara kecil yang sebenarnya membawa makna yang besar dalam kehidupan beragama.

Comments
0 Comments

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...