Alhamdulillah ramadhan kali ini menjadikan saya seorang yang rajin solat subuh di masjid cuma satu hari tu betul-betul kepenatan dan tidak dapat ke masjid bersolat subuh.

Bila bercerita mengenai solat subuh, biasalahkan kita pun boleh hitung berapa ramai syabab(pemuda) dan orang tua yang solat subuh ke masjid. Almaklumlah pagi-pagi kesejukan dengan kabus dan embun yang membuat keasyikan pagi kita terlena. Siapa sahaja boleh terlena lepas bersahur sampai ke paginya.

Saya mengambil dari sepotong hadis yang berbunyi

Hadith Rasulullah SAW riwayat Ahmad dan An-Nasa’i yang bermaksud:

“Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanganinya sekalipun dengan merangkak”.

SubhanAllah, sampai begitu sekali. Pastinya solat Subuh dan Isyak itu ada rahsia besar di dalamnya. Seandainya manusia tahu ganjaran yang Allah sediakan, sudah tentu ramainya manusia berbondong-bondong ke masjid pada waktu tersebut.Hadith Rasulullah SAW riwayat Muslim yang bermaksud:”Barang siapa yang solat Isyak berjamaah maka seakan-akan dia telah solat setengah malam. Dan barang siapa solat Subuh berjamaah (nota: atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam Hadith Abu Daud dan Tirmidzi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh”.SubhanAllah!, siapa di kalangan kita yang mampu buat solat malam satu malam penuh?

Hadith Rasulullah SAW riwayat Bukhari yang bermaksud:”Kalau sekiranya manusia tahu apa yang tersembunyi dalan azan dan saf pertama dan mereka tidak mendapatnya kecuali diundi, nescaya mereka akan ikut serta dalam undian (orang ramai yang ingin mendapatkan saf pertama). Dan jika mereka mengetahui apa yang didapati dalam awal datang (solat jamaah), nescaya mereka akan berlumba-lumba. Dan jika mereka tahu apa yang tersimpan di dalam Solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya walau dengan merangkak”.

Saya ingin mengambil beberapa petikan Hadith Rasulullah SAW. Antaranya berkenaan Solat Sunnah Sebelum Subuh atau dipanggil Solat Fajar.Hadith Riwayat Aisyah RA, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Dua rakaat fajar (solat sunnah sebelum subuh) lebih baik dari dunia dan seisinya” – Riwayat Muslim.

Hadith Riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meninggalkan solat sunnah Subuh walaupun kamu dikejar kuda” – Riwayat Abu Daud dan Ahmad.

Ayuh, diriku dan sahabatku. Marilah bangkit! Islam kini diinjak di bumi sendiri!. Hadirlah diri ini ke masjid terutamanya tika solat Subuh, kerana Salahuddin Al Ayyubi juga membentuk kekuatan tenteranya dengan solat Subuh.

Allahu Akbar!

Daripada Buraidah Al-Aslami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Berikanlah khabar gembira kepada mereka yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat”. -Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah-

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas RA, bahawa ketika Rasulullah SAW keluar untuk melaksanakan Solat Subuh, Baginda berdoa yang bermaksud:-

“Ya Allah, berikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada lisanku, cahaya pada pendengaranku, cahaya pada penglihatanku. Jadikanlah cahaya di belakangku, cahaya di hadapanku, cahaya di atasku dan cahaya di bawahku. Ya Allah, berikanlah padaku cahaya”. -Riwayat Muslim-

Diriwayatkan dari Jundab bin Sufyan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Barangsiapa yang menunaikan Solat Subuh maka dia berada dalam jaminan Allah. Maka jangan mencuba Allah membuktikan janjiNya. Barangsiapa membunuh orang yang menunaikan Solat Subuh, Allah akan menuntutnya sehingga Dia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka”. -Riwayat Muslim, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah, lafaz di atas menurut riwayat Ibnu Majah -

Diriwayatkan dari Anas bin Malik RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Barangsiapa menunaikan Solat Subuh berjemaah kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari, kemudian solat 2 rakaat, maka baginya pahala seperti haji dan umrah yang ditunaikan dengan sempurna, dengan sempurna, dengan sempurna!”. – Riwayat At-Tirmidzi -

Ya Allah, adakah aku tergolong dalam golongan ini?

Semoga menjadi ikhtibar buat kita.

sumber : http://akhi-faiz.com/siapakah-pemuda-subuh-itu