Tuesday, June 9, 2009

Muhammad SAW Engkaulah Permata Penerang Alam Semesta

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 4:12 PM, under | No comments

Nabi Utusan Akhir Zaman

Saidina Ali bin Abu Talib meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w berhutang beberapa dinar kepada seorang tabib Yahudi yang meminta bayaran daripada Rasulullah s.a.w. Lalu Baginda memberitahu : “Aku tidak mempunyai apa-apa untuk diberi kepada engkau,” Yahudi itu menjawab : “Aku tidak melepaskan engkau hai Muhammad, sehingga engkau membayar hutangmu kepadaku”. Rasulullah s.a.w bersabda : “Kalau begitu aku akan tinggal bersamamu”. Lantas para sahabat mengancam dan mengugut Yahudi tersebut dan perkara ini telah disedari oleh Rasululah s.a.w. Mereka bertanya : “Ya Rasulullah, adakah Yahudi ini menjadikan engkau sebagai hambanya?” Rasulullah s.a.w menjawab : “Tuhanku melarang aku daripada memungkiri janji terhadap seseorang.” Dan apabila matahari telah meninggi, muncul Yahudi tadi lalu berkata : “Aku mengaku bahawa engkau adalah Rasulullah. Separuh daripada hartaku akan ku serahkan kepada jalan Allah. Aku bersumpah di hadapan Allah bahawa tujuanku mengugut engkau (Rasulullah) supaya aku dapat bertemu dengan apa yang diceritakan.”


Inilah sedikit coretan kehidupan Rasulullah s.a.w yang kudus dan perlu menjadi tauladan kepada umat Islam agar dapat merentasi akhlak secara zahir dan spiritualisme.

Ahlan ya Rabiulawal, bulan yang mana menyaksikan lahirnya pemimpin agung, kekasih Allah, Nabi Muhammad S.A.W. Apabila adanya perkara yang dikaitkan dengan Baginda S.A.W, aku pasti akan teringat susah payah Baginda S.A.W dan para sahabat menyebarkan Islam dengan usaha dakwah yang berterusan. Satu persatu kisah perjuangan baginda S.A.W dan para sahabat melintas fikiranku yang ku dengar dari orang-orang alim. Semuanya perit dan penuh kesusahan, dalam menghadapi liku-liku kehidupan menghadapi musuh Islam. Jika ditawarkan kesenangan pun Baginda S.A.W akan terus menolak, malah baginda lebih suka sehari lapar dan sehari lagi mempunyai makanan untuk dimakan. Hebatnya Rasulullah S.A.W.


Bumi Taif pernah menyaksikan Rasulullah S.A.W dibaling batu sehingga ada yang diriwayatkan sehingga 10 batu jauhnya Baginda S.A.W dibaling oleh penduduk-penduduk Taif. Tapi, apa kata Nabi kepada Malaikat… “ Mereka tidak tahu”. Malah Baginda mendoakan pula kebaikan terhadap penduduk Taif dan keturunan mereka. Berkat kesabaran dan doa Baginda S.A.W, Allah pilih dari keturunan Bani Taif ini seorang pendakwah yang membawa Islam ke India. Malah, dikatakan unta – unta yang terdapat di benua india dibawa oleh keturunan Taif tersebut.


Susah payah Baginda S.A.W dalam berdakwah diteruskan, daripada fikir risau Baginda seorang terhadap kejahilan umat kepada terhimpunnya 124, 000 sahabat r.anhum semasa khutbah Wida’. Bagaimana Baginda melakukannya? Semuanya adalah dengan susah payah, bukannya dengan kesenangan dan kemodenan dunia. Dengan bantuan dari Allah, Baginda S.A.W dan para sahabat sangup berkorban apa sahaja untuk agama. Jadi, dimanakah umat Islam kini?

Bayangkan, daripada 124,000 sahabat, hanya 10,000 sahaja sahabat yang kuburnya di Mekah dan Madinah. Mana perginya 114,000 lagi sahabat? Persoalan yang menarik untuk kita teliti. 114,000 lagi sahabat telah berhijrah untuk menyampaikan dakwah sehingga mereka tidak ada masa untuk pulang ke kampung halaman atas tangunggjawab sebagai seorang Islam yang melakukan seruan dakwah.

Salah seorang daripada mereka adalah Saad B Abi Waqqas, yang kuburnya berada di Negara China, Subhanallah…siapa Saad B Abi Waqqas ini? Beliau merupakan sahabat yang telah menghalang Umar Al-Khattab dalam perjalanan untuk membunuh Nabi S.A.W . Ada diriwayatkan beribu-beribu sahabat dihantar untuk berdakwah ke Timur. Tetapi, dalam perjalanan melintasi banjaran Himalaya yang kita ketahui kesejukannya yang melampau, ramai yang telah gugur Syahid. Bagaimana kita mengira jauhnya perjalanan dari Tanah Arab ke China? Dan bagaimana kita menilai penduduk Islam di China lebih ramai dari penduduk Islam di Malaysia?


Siapakah mereka ini para sahabat? Mereka bukanlah professor, doktor, atau jurutera dan sebahagian besar dari mereka bukanlah ulama’ , cendekiawan, usahawan. Malah, ada juga yang buta huruf, hamba sahaya dan pernah dipandang hina sebelum Islam. Tapi, mereka sahabat Nabi S.AW, yang juga Allah S.W.T redha hidup mereka semasa di dunia lagi atas semangat cintakan agama, Rasulullah S.AW dan pencipta yang Maha Esa. Yang penting, mereka adalah insan biasa.


Malangnya, di era yang dikatakan globalisasi ini , masyarakat Islam bagai hilang identiti. Tanggal 12 Rabiulawal menjelma masyarakat Islam khususnya di Malaysia hanya mampu mempersiapkan pelanduk berarak untuk menyambut Maulidur Rasul mengenangkan kelahiran Baginda S.A.W. Walaupun ada ulama’ yang mengharuskannya dan tak salah untuk menyambutnya, tapi adakah kita ingin menjadikan perjuangan Baginda S.A.W dan para Sahabat r.anhum suatu sejarah yang hanya dikenang tanpa penerusan, seperti suatu monumen usang yang hanya dilawat pada masa-masa tertentu sahaja.





Ingatlah, kita ni umat dakwah, bukannya umat yahudi yang hanya menjadi pengikut yang kadang-kadang setia pada Nabi Musa A.S. Allah muliakan umat Nabi S.A.W dengan usaha dakwah iaitu tanggungjawab para rasul terdahulu untuk membawa manusia kepada Allah dan bukannya hanya mengenang kesusahan dakwah baginda dan para sahabat.
Hari ini, kita risau tentang masalah sosial di kalangan masyarakat Islam, tapi banyak formula yang diusahakan untuk mencari penawarnya.

Sedangkan penawarnya adalah dakwah. Apabila umat tak lakukan dakwah, maka Allah akan tarik kehebatan masyarakat Islam. Orang alim ada berkata, Islam ini bukannya kemenangan, Islam ni bukannya untuk dibanggakan, Islam bukan kemajuan, tapi Islam ini pengorbanan dan perjuangan. Mana tidaknya, para sahabat telah meninggalkan keluarga mereka, jandakan isteri tercinta mereka, yatimkan anak-anak yang disayangi, ditinggalkan harta yang tak seberapa, semata-mata untuk sebarkan agama dan berjuang dijalan Allah.
Darah ditumpahkan, anak panah menusuk seluruh anggota badan untuk keredhaan Allah jua.

Mereka tidak sempat melihat Islam berkembang ke seluruh dunia. Baginda S.A.W sendiri tidak sempat Islam menjajah dunia, tapi baginda hanya teringat umatnya walaupun di saat-saat kewafatan. Perkara yang kita tidak sedari, pengorbanan yang serupa seperti sahabat lakukan juga perlu kita buat agar Islam dapat diamalkan dengan syumul oleh muslim. Hal ini kerana para sahabat merupakan orang yang faham agama bukan saja tahu agama.


Apa gunanya umat berbillion tetapi bagaikan buih di lautan. Mudah lenyap apabila dipukul badai ombak. Adakah dengan berbilionnya kita kini, penduduk Israel sebanyak 5 Juta itu gerun pada kita? Tidak sesekali, malah mereka makin berani. Dimana silapnya? Dakwah cara Nabi yang diabaikan jawapannya.


Lebih menyayat hati, ummat sebahagian kini meninggalkan sunnah nabi. Terutamanya dari segi penampilan nabi. Bukankah yang Nabi tunjukkan itu merupakan agama? Ada yang lebih suka memakai topi dari kopiah, memakai baju t-shirt dari berjubah, dan lebih suka mencukur janggut. Malah, ada yang tak pernah mengamalkan sunnah nabi lagi, lebih teruk lagi yang tidak tahu apakah sunnah-sunnah Nabi S.A.W. Ingatlah umat Nabi, jika kita tidak melakukan dakwah Islam setiap masa, maka orang Islam akan dikalahkan dengan dakyah Iblis dan Syaitan yang dilakukan 24 Jam tanpa henti.

Jangan kita salah faham, untuk kemajuan dunia kita perlu memandang ke hadapan, tapi untuk agama kita perlu memandang ke belakang iaitu cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat dalam menyebarkan Islam.
Aku menulis semua ini demi untuk peringatan diriku juga, terhadap diriku yang lemah ini.


Allahuma shali ala Muhammad
Ya Rabbi shali alaihi wasalim

Ya Allah curahkan rahmat kepada Nabi Muhammad
Limpahkan ampunan dan keselamatan padanya.

Comments
0 Comments

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...