Sunday, April 24, 2011

Kelebihan Hari Mengikut Sejarah Islam

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 1:06 PM, under | No comments

Allah menjadikan masa dalam seminggu tu ada 7 hari. Dalam setiap hari, ada peristiwa-peristiwa penting yang tercatat dalam diari islam itu sendiri… ia menjadi memori sepanjang zaman

Peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut hari ini adalah…

Hari Isnin
1. Naiknya Nabi Idris a.s ke langit..
2. Nabi Musa a.s berangkat ke bukit Thursina
3. Rasulullah s.a.w dilahirkan..
4. Malaikat Jibril a.s turun kepada Rasulullah s.a.w buat kali pertama.
5. Amal perbuatan umat Nabi Muhamad s.a.w dilapurkan pada hari Isnin.
6. Hari wafatnya Junjungan mulia…Nabi Muhamad s.a.w
7. Bukti keesaan Alah diturunkan…”Qul huwallahu ahad”

Hari Selasa
1. Wafatnya Jurjis
2. Nabi Yahya a.s wafat pada hari ini.
3. Nabi Zakaria a.s wafat pada hari ini juga..
4. Tukang sihir Firaun tewas dengan mukjizat Nabi Musa a.s …
5. Asiah iaitu isteri kepada Firaun wafat pada hari ni.
6. Habil terbunuh hari selasa..




Hari Rabu
1. Allah meneggelamkan Qarun bersama keluarga dan harta kekayaanya ke dalam perut bumi.
2. Allah menghancurkan Firaun beserta semua pengikut2nya (di laut merah)..
3. Allah menghancurkan Raja Namruz bin Kan’an dengan memasukkan serangga ke dalam telinganya.
4. Allah menghancurkan kaum Nabi Saleh a.s
5. Allah menghancurkan kaum Nabi Hud a.s dengan hembusan angin yang kuat..

Hari Khamis
1. Nabi Ibrahim a.s bertemu dengan Raja Mesir.
2. Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s setelah mereka membuang dan mengasingkannya.. (masa nih, Yusuf jadi raja mesir yang terkenal).
3. Bunyamin iaitu saudara kecil Nabi Yusuf a.s datang ke mesir dan berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s ..
4. Nabi Yaakub a.s datang ke negeri Mesir juga…untuk bertemu anakandanya yang dirindui.
5. Nabi Musa a.s memasuki mesir pada hari khamis untuk mengajak firaun menyembah kepada Allah.
6. Rasululllah s.a.w memasuki kota mekah selepas perjanjian hudaibiyah…


Hari Jumaat
1. Pernikahan antara Adam a.s dan Hawa
2. Pernikahan antara Yusuf a.s dan Zulaikha
3. Pernikahan antara Nabi Musa a.s dan Shafura binti Nabi Syuaib a.s
4. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah Khuwailid.
5. Pernikahan antara Nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis dari negeri Saba’
6. Pernikahan antara Rasulullah s.a.w dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar.
7. Pernikahan antara Ali bin Abi Talib r.a dengan Fatimah az-Zahra







Hari Sabtu
Hari ni pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai hari tipu daya…sebab..

1.Kaum Nabi Nuh a.s membangkang kepada Nabinya.
2. Kaum Nabi Saleh a.s mencabar nabinya dengan menyembelih unta yang diamanahkan kepada mereka.
3. Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s mengkhianati Nabi Yusuf a.s dengan mencampakkannya ke dalam perigi di padang pasir.
4. Raja Firaun mencabar Nabi Musa a.s
5. Orang2 yahudi mengkhianati dan menejar Nabi Isa a.s untuk membunuhnya. Lalu, Allah mengangkat Nabi Isa a.s ke langit.
6. Orang2 Quraisy menipu dan mencabar Nabi Muhamad s.a.w di Darun Nadwah.
7. kaum yahudi melanggar perintah Allah dengan menagkap ikan walaupun hari itu di larang mereka berbuat demikian.


Hari Ahad
1. Allah menjadikan neraka.
2. Allah mencipta bumi yang tujuh lapis
3. Allah mencipta langit yang tujuh lapis
4. Allah menjadikan 7 anggota adam.
5. Allah menjadikan bilangan hari yang tujuh.
6. Allah menjadikan bintang2 yang beredar..
7. Allah menjadikan laiutan yang tujuh…





Diantara hari-hari yang tujuh itu..hari Jumaatlah yang paling mulia..dan digelar penghulu bagi segala hari..banyak fadhilat yang boleh kita perolehi pada hari Jumaat. Begitulah peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada sekian-sekian hari hanya dengan mengimbas kembali lipatan sirah nabawiyah, barulah kita dapat gambaran sepenuhnya. Alangkah baiknya kalau kita berada di bumi anbiya, bolehlah kita menuruti sejarah-sejarah silam, zaman pemerintahan nabi-nabi.

InsyaAllah moga sama-sama dapat ambil iktibar yang baik dan sempurna itu datangnya dari Allah jua, dan yang buruk itu dari hambaNya yang daif ini…

Tuesday, April 19, 2011

Empat petua Imam Syafie untuk sihat

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 1:45 AM, under | 1 comment


Empat perkara menyihatkan badan:
1. Makan daging
2. Memakai haruman
3. Kerap mandi
4. Berpakaian daripada kapas

Empat perkara melemahkan badan:
1. Banyak berkelamin (bersetubuh)
2. Selalu cemas
3. Banyak minum air ketika makan
4. Banyak makan yang masam

Empat perkara menajamkan mata:
1. Duduk menghadap kiblat
2. Bercelak sebelum tidur
3. Memandang yang hijau
4. Berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata:
1. Memandang najis
2. Melihat orang dibunuh
3. Melihat kemaluan
4. Membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran:
1. Tidak banyak berbual kosong
2. Rajin bersugi (gosok gigi)
3. Bercakap dengan orang soleh
4. Bergaul dengan golongan ulama

Empat cara tidur:
1. Tidur golongan Nabi - Tidur terlentang sambil berfikir mengenai kejadian langit dan bumi.
2. Tidur golongan ulama dan ahli ibadah - Mengiring ke sebelah kanan bagi memudahkan terjaga untuk menunaikan solat malam.
3. Tidur golongan raja yang haloba - Mengiring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.
4. Tidur syaitan - Menelungkup atau meniarap seperti tidurnya ahli neraka.

Thursday, March 24, 2011

Mimpi...Mainan Iblis atau Hidayah Allah?

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 12:41 AM, under | No comments

Mengikut kamus Dewan, mimpi bermaksud sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur seseorang. Mimpi biasanya berkaitan dengan apa yang sedang menjadi fikiran seseorang. Kadang-kadang apa yang pernah dilihat, dialami dan dirasai oleh seseorang itu sering kali melintas dalam mimpinya. Hakikatnya, mimpi adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sekiranya mimpi itu datang dari Allah Taala ia disebut sebagai ‘al-rukyah’ Kadang-kadang ada juga yang datang dari iblis dan syaitan yang disebut sebagai ‘al-hulm’.  

Terdapat perbahasan antara ulama mengenai takwil mimpi. Ada mimpi yang boleh ditafsirkan dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun tidak semua orang mampu mentafsirkan kebenaran mimpi tersebut. Ramai ulama yang ingin mendalami masalah takwil atau tafsir mimpi tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana susahnya ilmu tersebut. Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: ‘Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.’ 

Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi baginda adalah wahyu dari Allah. Sedangkan mimpi manusia biasa merupakan berita yang disebarkan oleh iblis dan syaitan. Untuk memahami persoalan mimpi ini, bolehlah kita bahagikan mimpi kepada tiga jenis: 

1.     Mimpi yang baik. 

Mimpi yang baik disebut juga sebagai ‘busyra’ iaitu khabar gembira dari Allah SWT Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedang mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam sebuah hadis yang lain dari Abu Said al-Khudri r.a., dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang menyenangkan, maka itu adalah daripada Allah Taala. Dia hendaklah memuji Allah dan ceritakannya kepada orang lain” (Riwayat Bukhari) Menurut satu riwayat lain, menjelaskan bahawa larangan menceritakan mimpi baik itu kecuali kepada orang yang disukai atau orang yang paling dekat dengan kita. Hal ini pernah dialami oleh Nabi Yusuf a.s. Baginda bermimpi; sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Ketika itu ayahnya melarangnya untuk menceritakan kepada saudara-saudaranya yang lain, sebab hal itu boleh mengundang fitnah. Mimpi yang baik boleh dibahagikan kepada dua kategori:

          i.  Mimpi para Nabi dan Rasul-rasul.

Mimpi mereka adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT Bukti kebenaran mimpi ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27). 

Mimpi bagi nabi dan para rasul berbeza dengan mimpi manusia biasa. Hal ini kerana mimpi pesuruh Allah itu adalah benar. Ia merupakan salah satu cara bagaimana wahyu diturunkan dari Allah Taala kepada mereka. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh telah diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Surah al-Soffat: 102)

Kalau ditelusuri sejarah para nabi dan rasul-rasul, bukan Nabi Ibrahim a.s. sahaja yang mendapat wahyu dari Allah Taala melalui mimpi Baginda, tetapi hampir semua para nabi, termasuklah Nabi Muhammad SAW Bahkan hadis-hadis Qudsi yang diterima nabi juga merupakan wahyu dari Allah Taala. 

          ii. Mimpi orang soleh.

Mimpi yang baik akan datang kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Walau bagaimanapun, mimpi yang baik di sini bukanlah bermaksud mimpi yang berbentuk ramalan atau sengaja-sengaja direka-reka apatah lagi bentuknya seolah-olah melampaui qada’ dan qadar Allah SWT. Mimpi melihat Rasulullah SAW adalah ciri-ciri mimpi orang soleh. Dalam sebuah hadis Nabi SAW Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat mengambil bentukku.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila telah hampir kiamat tidaklah mimpi seorang Muslim itu dusta, mimpi yang paling benar ialah mimpi orang yang paling benar perkataannya dan mimpi seorang Muslim merupakan satu daripada empat puluh enam bahagian daripada mimpi kenabian.” (Riwayat Muslim)

Justeru itu perlu diingat bahawa mimpi manusia biasa itu tidak mengandungi kebenaran yang mutlak. Kemungkinan tanda kebenarannya berlaku secara kebetulan sahaja, tetapi tidak menutup kemungkinan berlakunya banyak percanggahan yang mengelirukan. Apatah lagi bagi orang yang jahil atau yang memperkuda agama untuk kepentingan peribadi kononnya telah menerima wahyu melalui mimpinya, sehingga membawa kepada syirik dan terkeluar daripada agama Islam. Oleh itu kita yang jahil ini, dilarang mentakwilkan atau menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaiknya berfikirlah lebih rasional dan berpijak pada bumi yang nyata. 

2.     Mimpi yang buruk.

Mimpi jenis kedua ini sering berlaku kepada mereka yang mengalami masalah gangguan sama ada daripada iblis dan syaitan ataupun terkena sihir. Selain itu makhluk-makhluk halus juga mampu mengganggu mimpi manusia dengan izin Allah Taala melalui penglibatan manusia itu sendiri. 

     Prof. Madya Dr. Amran Kasimin, seorang pengamal perubatan Islam berpendapat, unsur kesedihan, susah hati atau apabila seseorang itu dalam keadaan marah akan menyebabkan pertahanan diri menjadi lemah. Apabila elemen dalaman ini lemah menyebabkan iblis dan syaitan yang sentiasa menunggu-nunggu peluang akan mudah menyerap masuk untuk mengganggu manusia melalui mimpinya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedangkan mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari) 

     Secara teorinya apabila kita tidur, jasad sahaja yang berada di atas perbaringan. Sedangkan akal manusia masih wujud, tetapi tidak aktif, tidak berfungsi dan di luar sedar. Ketika inilah, sekiranya kita tiada pertahanan diri menyebabkan makhluk-makhluk tersebut menyerang roh kita sehingga menyebabkan berlakunya gangguan-gangguan seperti mimpi-mimpi yang menakutkan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan daripada Safiyah binti Huyayn, Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut pembuluh darah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

     Apabila ini berlaku, ia boleh mengganggu manusia pada bahagian otak, hati dan mengawal pergerakan manusia dengan izin Allah Taala. Dalam sebuah hadis nabi memberi petua; apabila seseorang itu bermimpi yang buruk-buruk, maka jangan diceritakan sama sekali kepada orang lain, termasuk orang yang paling dekat sekalipun. 

3.     Mimpi mainan tidur.

Mimpi ketiga ini yang paling banyak berlaku kepada kita. Mimpi jenis ini disebabkan pengaruh menonton cerita-cerita ganas, mengerikan, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi mereka hasil daripada cerita yang ditonton ketika jaga. 

Selain itu, mimpi yang melibatkan anggota fizikal juga adalah mainan tidur. Mimpi ini disebabkan oleh gangguan fikiran yang berpunca daripada penyakit tertentu seperti demam, ramuan ubat, dadah atau pengaruh dan khayalan nafsu yang kuat. Walaupun demikian apabila mimpi tersebut berlaku berulang kali, tiga atau empat kali dalam seminggu, ataupun hampir setiap hari, iaitu ketika hampir terlena atau sedang tidur, ia bukan lagi mainan tidur. Ia kemungkinan antara tanda-tanda seseorang itu mengalami gangguan ataupun terkena sihir.

Dalam masyarakat Melayu Islam hari ini amalan-amalan khurafat yang berpunca daripada mimpi merupakan elemen utama dalam perubatan secara tradisional. Ada antara mereka yang mencari keuntungan segera di sebalik mimpi mereka yang sebenarnya boleh merosakkan akidah pengamal dan orang yang berubat dengannya. Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak untuk menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Amalan yang disabitkan dengan mimpi seperti yang diterangkan di atas tidak akan terlepas daripada amalan khurafat yang menyalahi akidah ini sekiranya:

1. Meramal suatu peristiwa yang bakal terjadi berdasarkan mimpi.

Perbuatan meramal atau menilik nasib seperti ini adalah perbuatan khurafat. Ia bukanlah satu-satunya cara atau landasan untuk menentukan sesuatu keputusan sementelahan pula mimpi itu sendiri bukanlah pemutus bagi segala-galanya untuk dipercayai. Islam tidak mengajar umatnya supaya meramal mimpi untuk menentukan baik buruk atau ajal maut dalam kehidupan manusia. Manusia bukanlah tuhan yang boleh meramal apa yang berlaku. Perbuatan meramal atau menilik mimpi melalui tukang tilik seolah-olah amalan dan budaya jahiliah yang sangat ditegah oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah al-Maidah: 90) 

2. Meletakkan keyakinan atau bergantung harap terhadap petunjuk melalui mimpi.

Jangan meletakkan nasib kita pada mimpi yang menjadi mainan syaitan. Nasib seseorang Muslim itu tidak terletak kepada mimpinya. Mimpi adalah suatu yang sangat peribadi dan tidak mempunyai kuasa untuk merubah nasib seseorang. Sesungguhnya tempat bergantung harap, memohon perlindungan dan keselamatan hanyalah kepada Allah Taala. Perbuatan terlalu percaya kepada mimpi seolah-olah menafikan zat Allah yang Maha Kuasa. Hal ini boleh menyeret kita kepada perbuatan syirik kepada Allah SWT Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni (dosa) kalau Dia disekutukan dan Dia mengampunkan selainnya, sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang menyekutukan Allah, sesungguhnya dia telah sesat sejauh-jauhnya. (Surah al-Nisa’:116) 

3. Mencampuradukkan antara ibadah dengan amalan khurafat.

Segelintir masyarakat kita sama ada sedar atau tidak telah mencampuradukkan ibadah mereka dengan amalan khurafat. Tanpa disedari fenomena menilik jodoh melalui mimpi dengan perantaraan solat sunat istikharah, terutamanya bagi sesetengah wanita perlu diperbetulkan semula. 

Amalan solat istikharah bukan bertujuan untuk meramal jodoh. Solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi tidak pasti apakah membawa kebaikan ataupun tidak kepadanya. Maka disunatkan baginya untuk melakukan solat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk dalam beberapa urusan yang penting. Baginda bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib”

Malah apabila seseorang itu beriktikad bahawa mimpilah yang menjadi penentu kepada pasangan jodohnya maka dikhuatiri ia telah berbuat syirik kepada Allah SWT Islam melarang apa jua amalan baik yang bercampur aduk dengan kebatilan yang mengelirukan.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula pada hal kamu semua mengetahuinya” (Surah al-Baqarah: 42)

4. Mimpi sebagai medium atau perantara yang menghubungkan antara manusia dengan makhluk lain atau alam ghaib.

Golongan ini biasanya melibatkan diri dengan perubatan tradisional misalnya, bomoh atau pawang yang terlibat dengan amalan semah, menyembah pantai, menurun dan sebagainya. Mereka ini kononnya didatangi oleh makhluk melalui mimpi meminta supaya disembelih binatang tertentu dan darahnya diberi makan kepada makhluk tersebut. 

Ada kalanya jenis mimpi, kononnya mereka didatangi oleh tokoh-tokoh agama atau manusia istimewa yang kononnya diberi keizinan oleh Allah SWT untuk menganugerahkan ijazah kemahiran atau ilmu-ilmu tertentu. Apabila keadaan seperti ini berlaku, orang yang didatangi mimpi itu merasakan yang ia mendapat arahan ataupun hidayah daripada Allah melalui mimpi. Sesetengah daripada mereka meyakini, bahawa yang datang itu ialah malaikat utusan Allah. Kepercayaan atau amalan melalui mimpi ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana mimpi bukanlah medium untuk memperoleh ilmu. Ilmu itu cahaya yang datang daripada sumber yang bersih dan suci. Manakala mimpi khurafat adalah lambang kepada kegelapan dan kesesatan.

Sesungguhnya beruntunglah bagi hamba-hamba pilihan Allah Taala yang diberi anugerah mimpi yang baik. Sebaik-baik mimpi ialah mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Akan datang suatu masa di kalangan kamu dapat bermimpi melihatku lebih disukai olehnya daripada keluarga dan hartanya”  (Riwayat Bukhari) 

Manakala dalam usaha mengatasi gangguan tidur terutamanya mimpi-mimpi yang buruk akibat gangguan daripada iblis dan syaitan Rasulullah SAW telah mengajar doa berikut

Ø£َللَّÙ‡ُÙ…َّ Ø¥ِÙ†ِّÙ‰ Ø£َعُÙˆْذُ بِÙƒَ Ù…ِÙ†ْ عَÙ…َÙ„ِ الشَّÙŠْØ·َانِ ÙˆَسَÙŠِّئاَتِ اْلأَØ­ْلاَÙ…ِ

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan dan daripada keburukan mimpi”

Setelah membaca doa di atas, orang yang terlibat hendaklah mengubah posisi tidurnya. Kalau semasa bermimpi dia tidur mengiring sebelah kiri, dia hendaklah mengiring sebelah kanan, begitulah sebaliknya. Adalah lebih mudah andainya dia beralih tempat tidur. Demikianlah kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW Sebuah hadis daripada Jabir, katanya Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disukai, dia hendaklah meludah ke sebelah kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah daripada syaitan tiga kali, dan ia hendaklah menukar posisi tidurnya”

Wallahu A'lam

Wednesday, March 23, 2011

Hindarilah Sifat Malas Wahai Sahabatku

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 2:13 AM, under | No comments

Sifat malas adalah hamparan tikar bagi iblis. Bila kita membiarkan sifat malas ini dengan tidak berusaha memeranginya, maka tikar itu akan semakin lebar, sehingga semakin nyaman iblis bersemayam di atasnya. Kita akan menjadi semakin sulit keluar dari sikap malas itu dan hancurlah kita walau setinggi manapun ilmu kita.

Rasa malas diertikan sebagai keengganan seseorang untuk melakukan sesuatu yang seharusnya atau sebaiknya dia lakukan. Contoh-contoh rasa malas adalah sentiasa menolak tugas, tidak disiplin, tidak tekun, suka melengah-lengahkan sesuatu, mengelakkan diri dari kewajipan, dan seumpamanya.

Rasa malas merupakan sejenis penyakit mental. Masyarakat yang dipenuhi oleh individu-individu yang malas sudah pasti tidak akan maju. Selain itu, rasa malas juga menggambarkan hilangnya motivasi seseorang untuk melakukan pekerjaan atau apa yang dia inginkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Diriwayatkan daripada Annas Bin Malik berkata bahawa Rasullullah SAW. Pernah berdoa yang bermaksud : Wahai Tuhanku aku berlindung dengan Engkau dari sifat lemah dan malas, takut dan bakhil dan aku berlindung daripada Engkau dari azap kubur dan aku berlindung daripada Engkau dari kesusahan masa hidup dan masa mati. (menurut satu riwayat yang lain) aku berlindung daripada Engkau dari beban hutang dan dari dikalahkan oleh musuh" (Riwayat dari Muslim)

 

Diantara penyakit jiwa yang boleh merugikan dan memundurkan umat manusia ialah berperasaan lemah diri, malas bekerja dan berusaha , bersifat kedekut atau bakhil serta sayangkan harta untuk dibelanjakan ke jalan kebajikan bagi membantu orang yang susah. Dengan adanya sifat-sifat tersebut dalam diri sendiri segala urusan akan tergendala malah masyarakat akan lemah dan mundur serta mudah dikalahkan oleh musuh, dengan itu masyarakat akan jadi huruhara . Dengan sebab itu ianya perlu dikikis dan dihapuskan dari dalam diri setiap orang dengan sedaya upaya yang boleh.

Untuk menghapuskan sifat-sifat tersebut bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ianya sudah melekat didalam diri tanpa disedari oleh kita. Oleh itu kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh dengan sedaya upaya jauhkan dari sifat tersebut terutama dengan cara berdoa kepada Allah.

Semoga kita mampu mempersempit “tikar iblis” itu dengan cara memerangi sikap malas kita, agar kita mampu untuk meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amiin

Jadi bagaimana hendak mengatasi virus yang merbahaya ini? 

Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a bahawasanya pada zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat yang sangat miskin bernama Abu Umamah. Siang dan malam dia tinggal di masjid, dan kemudian baginda memanggilnya seraya bertanyakan sebab-sebab dia bersikap demikian.

Abu Umamah menerangkan kepada Rasulullah SAW tentang kesedihan dan kesusahan yang menyebabkan ia tidak tinggal di rumah, kerana akibat banyaknya hutang yang tidak dapat dibayarnya.

Mendengar pengaduan Abu Umamah itu, Rasulullah SAW merasa hiba lalu beliau berkata kepada Abu Umamah : “Mahukah kamu kuberikan kalimah dan amalkanlah dengan baik setiap hari, nescaya Allah SWT akan melenyapkan kesedihanmu dan memberimu kelonggaran? Kemudian Rasulullah SAW membaca doa, sedang Abu Umamah mendengar dengan baik.

Berikut adalah doanya...

doa elak dari sifat malas, rasa dukacita dan kedekut
 
Abu Umamah membiasakan membaca ayat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW itu siang dan malam dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT akan memberi kelonggaran kepadanya.

Selang beberapa hari., kesedihan dan kedukaan yang dialami Abu Umamah berkurangan, makin lama makin berkurangan dan akhirnya hilanglah sama sekali dan terbukalah alam fikirannya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.
 
Dia akhirnya dia menjadi usahawan yang berjaya, sehingga hutang-hutangnya dapat terbayar semuanya dan bahkan dia menjadi orang yang sangat kaya.

Tuesday, March 22, 2011

Janganlah Engkau Bangga Diri Wahai Sahabatku

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 1:38 AM, under | No comments

BANGGA DIRI atau kagum terhadap diri sendiri adalah penyakit hati yang membuat seseorang berasa selesa dan berlapang dada dengan pujian orang lain. Orang seperti itu menganggap dirinya paling baik dan sentiasa melebihi orang lain. Sikap bangga mendedahkan pelakunya kepada akibat buruk di sisi agama. Pengamalnya akan membudayakan takbur iaitu sifat yang jelek di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Jangan kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri.” (Surah Al-Qashash, ayat 76)

Rasulullah saw bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain. (Hadis Riwayat Muslim)

Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.

Kedudukan orang Islam di sisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.

Sebenarnya bangga dan kagum diri sendiri adalah sifat Iblis yang memandang rendah Nabi Adam kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya daripada api.

Firman Allah bermaksud: “Iblis berkata, aku lebih baik daripadanya (Adam), Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan daripada tanah.” (Surah Saad, ayat 38)

Orang yang terkena penyakit kagum diri dapat dilihat daripada beberapa tanda iaitu selalu memuji dan mengagungkan diri. Pada masa sama, ia melupakan firman Allah bermaksud: “Maka jangan kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) paling mengetahui orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Kita juga dilarang memuji dan menyebut kebaikan diri.


Firman Allah bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan pelik wahai Muhammad) kepada orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah juga yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.” (Surah an-Nisaa, ayat 49)


Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.


Seorang Muslim yang terkena penyakit bangga diri harus segera bertaubat dan berusaha menyembuhkan dirinya daripada penyakit hati itu. Cara dapat dilakukan supaya tidak terkena penyakit kagum ialah selalu ingat hakikat dan kejadian diri. Sesungguhnya kita adalah insan biasa yang tidak punya apa di dunia yang fana ini. Wallahu A'lam.

Sunday, March 20, 2011

Indahnya Hidup Berjuang - Ingatan Untuk Sahabat Dari Seorang Sahabat

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 4:07 AM, under | No comments

Pergilah sahabat semua, teruskan perjuangan kita, agar Islam dapat bangun dan bangkit semula. Sahabat , dalam menyusuri jalan perjuangan, jangan lupa memandang di belakang sejarah yang sering mengingatkan kita jerih perit para pejuang terdahulu, untuk kita jadikan pedoman dan pengajaran, bahawa jalan menuju bahagia itu tidak mudah, jalan menuju syurga itu penuh kepahitan yang tidak kita impi-impikan untuk melaluinya. 

Jalan perjuangan yang kita akan selusuri itu banyak benar denai duri yang tajamnya tidak terkata, sakitnya menusuk jiwa, air mata akan selalu mengalir, peluh keringat dan pengorbanan akan sentiasa membaluti tubuh. Sebab itu sahabat, sudah aku nyatakan berkali-kali, hidup ini perlukan dorongan seorang teman, teman di jiwa adalah iman, teman sepanjang perjalanan adalah Tuhan, teman suka duka adalah kawan-kawan kita iaitu manusia yang faham apa erti kehidupan. Sahabat, perjuangan yang kau tempuhi sebentar lagi akan menyebabkan engkau rasa putus asa, kecewa, sebak dan sedih yang tidak terkata.

Maka kuatkanlah semangatmu, selalulah panjatkan doa kepadaNya, kita jadikan malam-malam sebagai taman munajat kepada Tuhan. Dia tidak akan melupakan kita, Dia akan selalu mendengar rintihan kita dikala manusia kelu untuk berkata-kata. Dari situ kita suburkan kasih sayang dan cinta kepada Tuhan.

Sahabat, perjuangan dalam jalan dakwah menuntut pengorbanan jiwa yang bukan sedikit, ingatlah setiap antara kita sememangnya berkewajipan untuk meneruskan tugas warisan para anbiya’ ini. Kerana cahaya Islam semakin suram di mata hati umat Islam sendiri. Cuba engkau lihat ada negara Islam yang bersekongkol dengan negara kafir untuk menyerang negara Islam sendiri, atas nama tujuan ekonomi. Mereka tidak meletakkan agama sebagai keutamaan. Cuba engkau lihat di negara Afghanistan pula, angkatan tentera yang kononya Islam bertakbir Allahu Akbar apabila berjaya membunuh saudaranya sendiri , umat Islam juga tetapi mereka sendiri dibantu oleh orang kafir. Islam apa ini namanya?

Cuba pula engkau lihat kebejatan akhlak di negara kita sendiri, tidak mustahil jika suatu hari nanti yang engkau nampak adalah adik, abang dan keluargamu sendiri yang melakukannya. Itukah yang engkau mahu sahabat? Sedangkan kita telah dibekalkan dengan ilmu oleh para guru yang tidak kenal erti penat lelah untuk memastikan para pelajarnya keluar sebagai bukan sahaja orang yang berjaya bahkan juga sebagai da’ie di alam ini. Inginkah engkau lihat saudara-saudara kita terpekik, terlolong di dalam neraka ? sanggupkah engkau lihat ibu ayah kita menangis sepanjang masa di dalam kuburan melihat anak-anaknya tidak menjadi ‘manusia’ yang diinginkan oleh Allah ? dan kemudiannya mereka-mereka itulah akan menarikmu pula ke dalam neraka bersama sebab engkau tidak menjalankan tugasmu sebagai saudara seIslam untuk menegur dan menasihati mereka.

Sahabat, tugas dakwah ini tugas kita, sebab kita telah belajar apa erti kesusahan Rasulullah dalam menyebarkan agama, kita telah merasai kemuliaan para sahabat yang mengalirkan air mata pengorbanan hingga dapat membangunkan Islam di seluruh pelosok dunia. Mereka bangun dengan semangat jihad yang dibentuk oleh al Quran dan sunnah Rasulullah, di hati-hati mereka tiada perasaan gentar atau takut selain dari Allah.

Mereka faham benar apa yang dimaksudkan di dalam ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya” Surah As Saff ayat 2-3. Sebab itu sahabat, dengan nasihat yang lahir dari lubuk hati ini, dengan ikhlas aku menyatakannya kerana aku ingin melihat cahaya Islam itu semakin gemilang, agar Rasulullah mampu tersenyum andainya melihat sinarnya Islam selepasnya tidak kunjung padam. Moga-moga dengan amal ikhlasmu dalam juang HPA ini akan dipandang oleh Allah dan diredhaiNya di dunia dan di akhirat sana. Insya Allah…

SEMOGA ISLAM ITU GEMILANG LAGI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...